Pihak pengurusan KMKN bersetuju untuk membukukan kompilasi antologi cerpen "Aku dan KMKN" yang ditulis oleh warga KMKN.
Inilah tulisanku......
Tajuk : Perjuangan Seorang Pendidik MARA
Seperti insan lain, aku juga melalui
sistem pendidikan formal dan tidak formal sebelum bergelar pendidik MARA
sebagai kerjaya pilihan untuk menyumbang bakti kepada agama,
bangsa dan tanah air tercinta. Syukur Alhamdulillah, pendidikan di peringkat
menengah dan tertiari/pra-U aku melalui sistem pendidikan MARA. Aku juga anak
didik MARA. Terima kasih kepada semua guru-guruku. Semoga Allah SWT
sentiasa merahmati dan meredhai kalian. Budi bakti kalian terpahat disanubari
hingga akhir hayat ini. Al-Fatihah: buat para pendidik serta
rakan-rakan pendidik yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh kalian
dicucuri rahmatNya serta ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin.
Tanggal 01 Julai 1993, aku ditawarkan
sebagai seorang Guru Perakaunan dan bertugas di Kolej MARA Kulim sebagai
penempatan pertamaku di Institusi Pendidikan MARA (IPMA). Rupa-rupanya aku
adalah ex-Matrikulasi UUM, Kolej MARA Kulim yang pertama masuk semula ke Kolej
MARA Kulim sebagai pendidik MARA. Suasana kerja amat menggembirakan kerana
dikelilingi rakan-rakan seperjuangan yang hebat, kompeten dan produktif serta
dikurniakan anak-anak pelajar yang hebat dan cemerlang juga. Namun, pada akhir
bulan Disember 1994, aku bersama kumpulan guru dan pelajar program Matrikulasi UUM
perlu berpindah ke Kolej MARA Kuala Nerang (KMKN) atas keperluan pengurusan
atasan Ibu Pejabat MARA ketika itu.
Perjuangan sebagai pendidik MARA
diteruskan di KMKN sehinggalah ke hari ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan
dedikasi demi melahirkan anak-anak pelajar yang berjaya di dunia dan akhirat.
Hampir 30 tahun aku telah berkhidmat di bumi KMKN ini. Masya Allah,
Tabarokallah, Alhamdulillah. Banyak peristiwa yang dilalui yang banyak memberi pengajaran
dan renungan buat diri yang kerdil ini samada berbentuk personal mahupun
perkembangan kerjaya. Sebagai manusia biasa, aku juga mengalami suka duka
kehidupan sebagai seorang pendidik. Ada kisah yang boleh dikongsi sebagai
pengajaran kepada orang lain dan ada yang aku rasa cukup sebagai kenangan,
panduan dan nostalgia diri sendiri.
Alkisahnya berlaku pada tahun 2013 di mana
bagiku kejadian ini mengubah sedikit lanskap dunia pendidikan yang telah
diceburi selama 20 tahun pada ketika itu. “Anisah, boleh kita berbincang
sekejap”, ajak Pn. Ani, Ketua Jabatanku ketika itu sambil diekori oleh Cikgu
Ima, seorang guru muda yang mengajar subjek yang sama denganku iaitu subjek
Perakaunan. Tanpa berlengah aku terus mengekori Pn. Ani dan Cikgu Ima masuk ke
bilik kerja guru. Pn. Ani memberitahu
situasi yang sedang dihadapi ketika itu di mana pihak kolej memerlukan tambahan
seorang guru subjek Study & Critical Thinking Skills (SCTS) untuk
program Foundation in Science & Technology (FIST),UniKL dan
menghadapi lebihan pensyarah dalam subjek Perakaunan bagi program Matrikulasi
KPM. Perbincangan berlaku di mana, sekiranya aku bersetuju untuk mengajar
subjek Perakaunan, Cikgu Ima akan mengajar subjek SCTS dan begitulah
sebaliknya. Keputusan terletak ke atas diriku dan keputusan perlu diberi
segera.
Allah SWT sahaja yang tahu perasaanku
ketika itu. Geram bercampur sedih kenapa aku yang dipilih? Penganiayaan kah ini? Air mataku hampir mengalir,
namun cuba bertahan. Alhamdulillah,
Allah SWT ilhamkan ketika itu, bisikan di dalam hatiku berkata “Biarlah
Cikgu Ima yang berkelulusan dalam bidang perakaunan mengajar dalam bidang
perakaunan. Dia masih muda dan energetic dalam meneroka P&P terkini. Hangpun
bukannya lulusan perakaunan. Hang cuma ada BBA (Hons) dan MBA(Finance) dari
UUM. Beralah tak bererti kalah, beralah untuk kebaikan organisasi dan pelajar”.
Dengan perasaan yang amat berat ketika itu, akhirnya aku bersetuju dengan Pn.
Ani untuk memikul amanah untuk mengajar subjek SCTS bersama Puan Edi yang
merupakan Ketua Unit subjek SCTS ketika itu. Perubahan subjek yang diajar
membawa kepada perubahan tempat duduk di bilik guru dan perubahan jabatan iaitu
dari Jabatan Sains Sosial kepada Jabatan Bahasa. Ketua Jabatan sebelum ini
adalah Pn. Ani, kini telah bertukar di bawah seliaan Ketua Jabatan Bahasa, Cik
Nor, seorang guru Bahasa Inggeris senior yang cemerlang. “Hasbunallah
wani’mal wakil, ni’ malmaula wani’ mannasir” ….hanya kepada Allah SWT
aku mohon pertolongan dalam setiap gerak dan diamku sepanjang menggalas amanah mengajar subjek
SCTS, FIST, UniKL. Terima kasih yang tidak terhingga buat Cik Nor, selaku Ketua
Jabatanku ketika itu, Puan Edi, selaku Ketua Unit SCTS dan Pn Liha rakan
pensyarah yang mengajar SCTS bagi program Skim Pelajar Cemerlang (SPC), ke luar
negara. Sokongan dan tunjuk ajar kalian amat dihargai. Semoga Allah SWT
kurniakan ganjaran yang sebaik-baiknya buat kalian semua. Al-Fatihah
disedekahkan buat arwah Cik Nor yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun
2018.
Alhamdulillah, selama 7 tahun aku
berkhidmat sebagai guru subjek SCTS, banyak kenangan indah bersama pelajar
FIST, UniKL yang masih tersemat di sanubari. Cikgu doakan anak-anak sekelian
beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Ada 4 perkara yang tidak aku lupa berkat kesabaran dan berjuang menimba ilmu dan
pengalaman selama 7 tahun (2013 -2020) mengajar subjek SCTS. Pertamanya, di dalam
keadaan bersusah payah akhirnya aku berjaya juga membina blog pendidikan bagi
membantu pengajaran & pembelajaran subjek SCTS berasaskan teknologi terkini.
Alhamdulillah, sehingga kini aku masih update blog dengan cara dan
gayaku sendiri. Terima kasih buat anak sulungku yang turut membantu set up
blog. Keduanya, aku turut diberi
kepercayaan oleh Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT), MARA untuk menjadi
fasilitator Bengkel Persediaan Pengajaran untuk kursus Critical Thinking
untuk program Certified in Finance, Accounting and Business (CFAB), untuk
pensyarah Kolej Profesional MARA (KPM) Beranang di Ibu Pejabat MARA, KL. Ketika
itu, aku diamanahkan menjadi Ketua Unit Subjek SCTS, di mana perlu menyelaras
subjek SCTS, FIST UniKL yang ditawarkan di KMKN dan di Kolej MARA Kulim. Aku
cuba memenuhi amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin. Ketiganya, aku
berpeluang menjadi pembentang sempena Hari Inovasi KMKN 2017, bertajuk: Integrated
of Ulul Albab Concepts Across Curriculum. Akhirnya, syukur Alhamdulillah
dalam tempoh itu juga aku direzekikan Allah SWT untuk naik gred secara timed
based sebanyak dua kali. “Nikmat Allah SWT yang mana satukah yang kamu
hendak dustakan?” …. Air mata syukur mengalir deras membasahi pipiku kini.
Allah SWT Maha Baik kepada setiap hambaNya. Alhamdulillah, kehidupan peribadi
dan kerjayaku amat bermakna kini dengan pertolongan dan rahmatMu jua Ya Allah.
Pada tahun 2020 sehingga
kini, perjalananku sebagai seorang
pendidik MARA diteruskan di bumi KMKN tercinta. Program FIST, UniKL telah
ditamatkan dan KMKN melaksanakan program Asasi MARA mulai tahun 2020. Hasrat
dihati ingin mengajar subjek Pengurusan Perniaagaan mengikut disiplin ilmu yang
diperolehi selama ini. Malah, selepas tamat pengajian MBA(Finance) melalui skim
Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP), pihak MARA telah membuat penempatan semula
kepadaku di KMKN dengan membuat tawaran sebagai Pensyarah Pengurusan Pernigaan.
Pengalaman mengajarku erti survival di tempat kerja. Justeru, aku akur dengan
keputusan pihak pengurusan KMKN untuk aku kembali semula mengajar subjek
perakaunan program matrikulasi demi kelangsungan perkhidmatan sebagai pendidik
MARA yang berorientasikan kecemerlangan organisasi dan pelajar.
Kali ini aku berpindah tempat duduk dan berpindah semula ke
Jabatan Sains Sosial di bawah seliaan Ketua Jabatan, Pn. Ila pula. Bersua
semula menggalas tanggungjawab bersama Cg Ima yang telah menjadi Ketua Unit
subjek Perkaunan dan rakan-rakan pensyarah perakaunan yang hebat-hebat belaka
iaitu Pn. Ila, merangkap Ketua Jabatan Sains Sosial, Pn. Liz merangkap
Penyelaras Program Matrikulasi. Syukur Alhamdulillah, berdamping
dengan circle yang positif akan terkesan kepada diri kita. Hal ini, ada
dinyatakan di dalam sebuah hadith yang sahih yang bermaksud:
“Perumpamaan teman yang baik dan
teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang
besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut),
atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya.
Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu
mendapatkan bau yang busuk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Alhamdulillah, diri yang kerdil ini
diterima kembali untuk berada dikalangan insan-insan hebat. Ada kalanya
menjadikan rasa takut dan gentar khuatir sekiranya tidak dapat memenuhi KPI
yang ditetapkan oleh Unit Perakaunan. Hanya pertolongan Allah SWT sentiasa
bersamaku. Pemikiran dan jiwa yang cekal serta sokongan padu dari rakan-rakan
seperjuangan membuat aku masih bersedia untuk terus berkhidmat sebagai pendidik
MARA demi memenuhi tuntutan organisasi yang dicintai dan anak-anak pelajar yang
dikasihi.
Alhamdulillah, baru-baru ini KMKN telah
memperolehi pencapaian yang cemerlang untuk Program Matrikulasi Sesi 2022/2023
di mana KMKN telah dinobatkan sebagai Kolej Terbaik Keseluruhan (Tempat Pertama)
daripada 17 kolej matrikulasi di Malaysia. Mengekalkan prestasi cemerlang
adalah satu cabaran buat warga pendidik KMKN. Semoga anak-anak didikku menjadi
insan ulul albab yang berjaya dalam bidang masing-masing dan meneruskan
survival ummah yang masih belum selesai. Semoga aku terus dikurniakan kesihatan yang
baik dan ketajaman pemikiran oleh Allah SWT dalam menggalas amanah yang telah
dipertanggungjawabkan dan akan dipertanggungjawabkan semula di akhirat nanti. Akan ku teruskan survival sebagai
pendidik MARA yang masih berbaki 5 tahun 6 bulan sahaja lagi.InsyaAllah.
Sebagai mengakhiri hari-hari akhirku berkhidmat dengan MARA dan KMKN khususnya,
aku kongsikan sajak yang pernah dinukil pada 01 Rejab 1440H bersamaan 08 Mac
2019 sebagai azimat buat diriku yang bergelar Pendidik MARA.
"Perjuangan Seorang Pendidik MARA"
Perjuangan berpaksikan kebenaran
Perjuangan berbekalkan ilmu dan ketaqwaan
Perjuangan berintegrasikan tuntutan ketuhanan dan kemanusiaan
Perjuangan berterusan hingga akhir zaman...
Perjuangan menuntut kesabaran dan keikhlasan
Perjuangan menuntut ketajaman aqal dan pemikiran
Perjuangan menuntut kesepaduan kebijaksanaan dan peradaban
Perjuangan menuntut ketepatan haluan
Perjuangan menuntut penambahbaikan berterusan
Perjuangan menuntut kolaborasi dalam tindakan...
Perjuangan sentiasa mendepani zaman
Perjuangan sentiasa bersedia menghadapi cabaran
Perjuangan sentiasa mengadaptasi kepesatan perubahan
Perjuangan sentiasa mencari seribu kebaikan
Perjuangan sentiasa menzahirkan kesejahteraan
Perjuangan sentiasa mendahului tuntutan tuhan
Perjuangan sentiasa menghargai kemenjadian insan...
Perjuangan sejati sebati di dalam diri
Perjuangan demi melahirkan generasi rabbani
Perjuangan suci membina tamadun madani
Perjuangan mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi
Perjuangan abadi mencari redha Ilahi...
Teruskan perjuangan …. wahai warga pendidik MARA sekalian....
Nukilan rasa;
Pendidik MARA_082222, KMKN
Sanisah Hanim Jiman
0 Comments