“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”
Saidina Ali R.A
Puisi:
"Insaflah Umat Islam"
Assalamu'alaikum saudara dan taulan,
Sebuah puisi sila dengarkan,
Masalah ummah Akhirul Zaman,
Dalam perintah Mulkan Jabariyyan.
Cuba direnung cuba fikirkan,
Mengapa ummah banyak percanggahan,
Mana kebatilan mana kebenaran,
Semuanya kini dalam kesamaran.
Umat Islam pernah bersatu,
Mazhab Empat tidaklah buntu,
Ahlus Sunnah Wal Jamaah sudahlah tentu,
Khilafah dan wakilnya saling membantu.
Persekutuan Barat Khilafah diburu,
Daulah Islami haru biru,
Kemudian menaja firqah baharu,
Umat Islam menjadi celaru.
Ummah kini dalam kegelapan,
Teraba-raba mencari pedoman,
Merenung-renung masa hadapan,
Mencari-cari suatu jawapan.
Dari mana hendak dimula,
Bagaimana nak pulih cacat dan cela,
Arah mana hendak dihala,
Manhaj yang mana perlu dibela?
Mengapa ummah alah serangan,
Zahir dan batin bawah jajahan,
Sedang Islam agama kebenaran,
Jaminan Allah beri pernaungan.
Ingat-ingatlah sabda junjungan (SAW),
Masalah ummah di Akhir Zaman,
Penyakit kronik itulah Al-Wahn,
Cinta dunia takutkan kematian.
Ummah ditimpa penyakit PESONA,
Mabuk kepayang dengan dunia,
Hiasan dunia indah zahirnya,
Lupa segala mudarat racunnya.
Ummah ditimpa pesona yang amat,
Budaya Barat dianggap azimat,
Konon tersimpan bermacam keramat,
Ramai umat berkiblat ke Barat.
Ummah terpukau pandangan zahiriyyah,
Lupa menilik pandangan batiniyyah,
Dunia dan Barat dilihat indah,
Alpa kepada amaran Allah.
Ummah alpa nak cari bekal,
Buat simpanan alam yang kekal,
Segala ditilik melalui aqal,
Dipinggir semua sumber naqal.
Orang Barat ramai taksub duniawi,
Malangnya mereka luput ukhrawi,
Diminta dunia dengan berperi,
Sudah tentu Allah memberi.
Orang Barat suka bertema,
Apalah ada pada nama,
Namun kafir dan Islam lain agama,
Di sisi Allah tidaklah sama.
Orang Barat dengan pengalamannya,
Hadapi masalah dengan gerejanya,
Dianggap penghalang kemajuan dunianya,
Lalu ditolak disingkir agamanya.
Formula 'penyelesaian' orang Barat,
Mengapa ditiru ummah sejagat,
Mana benarnya firqah yang sesat,
Dibandingkan Islam agama hakikat?
Agama hakikat itulah Islam,
Sempurna sudah semenjak silam,
Pembawa cahaya penyuluh malam,
Aturan lengkap manusia dan alam.
Mengapa diambil formula Barat,
Untuk selesaikan masalah ummat,
Kudis yang kecil lalu melarat,
Menjadi barah ummah darurat.
Ke arah Barat ummah berkiblat,
Formula mereka dianggap ubat,
Bagaimana Allah nak turunkan rahmat,
Bagaimana ummah nak dapat selamat?
Tafsiran nilai dan neraca Barat,
Menjadi pegangan ummah sejagat,
Formula Islam diambil sekerat,
Bantuan Allah tersekat-sekat.
Cendikiawan Barat peloporkan tema,
Sekularisme Liberalisme berbagai `isme',
Mengapa ummah sanggup terima,
Sedangkan Islam tidaklah sama?
Doktrin sekular dapat selinap,
Pemimpin ummah racun diserap,
Disalut dengan propaganda kerap,
Falsafah batil sudah tertancap.
Konsep Tauhid pegangan ummah,
Ajaran Islam inti falsafah,
Dijadikan teras oleh pemerintah,
Kesultanan dan Khilafah.
Sedangkan sekular Tauhid disanggah,
Islam dan dunia dipisah-pisah,
Ajarannya langsung tidak menasabah,
Dengan Islam amat bercanggah.
Falsafah sekular dapat otoritas,
Diletak tempatnya paling di atas,
Dianggap sakaral sedikit tak was-was,
Penghayatan Islam menjadi terbatas.
Dari pendidikan sampai pemerintahan,
Doktrin sekular jadi pegangan,
Ajaran Islam tak lagi sepadukan,
Hak dan batil dicampur adukkan.
Ajaran Islam paksi kehidupan,
Konsep sepadu tiada pengasingan,
Amalan ummah sejak berzaman,
Membentuk sejarah penuh isian.
Konsep sekular batilnya falsafah,
Kesannya terasa di bidang sejarah,
Bagaimana nak betul kisah ummah,
Jika agamanya dipisah-pisah?
Sejarah sebenar dapat selewengkan,
Bahana sekular di Akhir Zaman,
Diambil pula neraca dan tafsiran,
Perspektif Barat jadi ukuran.
Neraca Islam tidak hiraukan,
Tafsiran Islam dianak tirikan,
Segala yang Barat dianggap 'kemajuan',
Konon punca segala 'kejayaan'.
Pabila ummah ditimpa musibah,
Akibat mengambil formula yang salah,
Maka pengkritik pun sorak sorailah,
Bermacam nasihat mahu ketengah.
Munafik agama tunjukkan belang,
Ummah berdiam apalah malang,
Dituduh Islam sebagai penghalang,
Konon menyekat `kejayaan' gemilang.
Ummah termakan nasihat yang salah,
Disalut dengan propaganda nan indah,
Semakin jauh mereka terpisah,
Dari landasan agama yang fitrah.
Kepimpinan ummah sangat terkesan,
Mencari alasan Islam ketepikan,
Walau kecil masalah dalaman,
Formula Barat terus peloporkan.
Ditolak ketepi benar dan salah,
Dinilai kira menang dan alah,
Ke dunia Barat kiblah diarah,
Pemerintah ummah tak takut Allah.
Zaman moden Islam merempat,
Segala ajarannya dikeji diumpat,
Formula Barat mengambil tempat,
Didakap erat tak sempat-sempat.
Falsafah sekular amat bahaya,
Pengasingan agama dari dunia,
Bila ummah pegang prinsipnya,
Luput hakikat hilang bisanya.
Islam sepadu dengan kehidupan,
Aturan Allah bukan mainan,
Mengapa ummah asing-asingkan,
Musibah melanda siapa salahkan?
Mulkan Jabariyyan Zaman Fitnah,
Doktrin kafir dijadikan falsafah,
Langsung belenggu hakikat ummah,
Bagaimana Allah nak turunkan nusrah?
Sampailah sudah Zaman Beralih,
Umat Islam Allah nak pulih,
Ilmu Hakikat sudah dipilih,
Supaya ummah senang memilih.
Allah kembalikan Ilmu Hakikat,
Supaya hambaNya dapat melihat,
Yang mana benar yang mana sesat,
Supaya mudah memilih yang tepat.
Sudahlah jelas benar dan salah,
Supaya ummah tak lagi berhelah,
Kalau ikhlas segera pilihlah,
Firqah hakikat naungan Allah.
Allah hendak turunkan nusrahNya,
Itulah sebab hilang samarnya,
Firqah hakikat dapat naunganNya,
Firqah yang batil tunggu balaNya.
Sampailah sudah masa dan waktu,
Era Akhir Zaman sudahlah tentu,
Umat Islam janganlah buntu,
Pastikan ikhlas dalam nawaitu.
Era Akhir Zaman bukan mainan,
Banyak cabaran banyak dugaan,
Pilihan yang tepat harap pastikan,
Supaya akhirat dapat selamatkan.
Wahai saudara harap fikirkan,
Kesatuan ummah kita pulihkan,
Ilmu hakikat Allah tunjukkan,
Gunakan ia buat pedoman.
Perjuangan hakikat mendapat rahmat,
Dapat zahirkan karamah barakat,
Melawan semua golongan sesat,
Nusrah Allah untungkan ummat.
Sabda Nabi (SAW) nan azimat,
Tidak bersatu ummat dalam sesat,
Kalau ummah memilih yang tepat,
Alam dan makhluk berkongsi rahmat.
Sekian dahulu kami bermadah,
Puisi yang panjang tamatlah sudah,
Semoga mendapat ibrah faedah,
Dapat tenangkan hati nan gundah.
Intaha
TSTHO
"Kita, Generasi Muda Islam Hebat"
Maha Suci Allah yang menciptakan kita dengan indah..
Maha Suci Allah yang menciptakan kita dengan akal hebat..
Maha Suci Allah yang menciptakan kita bentuk sempurna..
Maha Suci Allah yang menciptakan kita sebagai makhluk mulia..
Nabi Muhammad adalah panutanku..
Nabi Muhammad adalah pujaanku..
Nabi Muhammad adalah pilihanku..
Nabi Muhammad adalah idolaku..
Wahai generasi muda Islam..
Kalian adalah generasi penegak agama Allah..
Kalian adalah generasi pengibar panji Rasulullah..
Kalian adalah generasi penerus perjuangan Rasulullah..
Wahai pemuda dan pemudi Islam..
Ayo, muliakan diri dengan iman..
Ayo, hebatkan diri dengan Al-Qur’an..
Ayo, indahkan diri dengan akhlak budiman..
Ayo, semangatkan diri dengan kebaikan..
Ya Ayyuhas shabab..
Antum syubbanul yaum, rijalul ghod…
Karena kita semua adalah bintang harapan bangsa..
Karena kita semua adalah kejora kebanggaan agama..
Karena kita adalah generasi hebat..
Oleh: H. R. Umar Faruq
"PERJUANGAN SEORANG PENDIDIK"
BUAT WARGA PENDIDIK YANG BUDIMAN ...
PERJUANGAN BERPAKSIKAN KEBENARAN
PERJUANGAN BERBEKALKAN ILMU DAN KETAQWAAN
PERJUANGAN BERINTEGRASIKAN TUNTUTAN KETUHANAN DAN KEMANUSIAAN
PERJUANGAN BERTERUSAN HINGGA AKHIR ZAMAN...
PERJUANGAN MENUNTUT KESABARAN DAN KEIKHLASAN
PERJUANGAN MENUNTUT KETAJAMAN AQAL DAN PEMIKIRAN
PERJUANGAN MENUNTUT KESEPADUAN KEBIJAKSANAAN DAN PERADABAN
PERJUANGAN MENUNTUT KETEPATAN HALUAN
PERJUANGAN MENUNTUT PENAMBAHBAIKAN BERTERUSAN
PERJUANGAN MENUNTUT KOLABORASI DALAM TINDAKAN...
PERJUANGAN SENTIASA MENDEPANI ZAMAN
PERJUANGAN SENTIASA BERSEDIA MENGHADAPI CABARAN
PERJUANGAN SENTIASA MENGADAPTASI KEPESATAN PERUBAHAN
PERJUANGAN SENTIASA MENCARI SERIBU KEBAIKAN
PERJUANGAN SENTIASA MENZAHIRKAN KESEJAHTERAAN
PERJUANGAN SENTIASA MENDAHULUI TUNTUTAN TUHAN
PERJUANGAN SENTIASA MENGHARGAI KEMENJADIAN INSAN...
PERJUANGAN SEJATI SEBATI DI DALAM DIRI
PERJUANGAN DEMI MELAHIRKAN GENERASI RABBANI
PERJUANGAN SUCI MEMBINA TAMADUN MADANI
PERJUANGAN MENCAPAI KEBAHAGIAAN DUNIAWI DAN UKHRAWI
PERJUANGAN ABADI MENCARI REDHA ILAHI...
TERUSKAN PERJUANGAN
WAHAI WARGA PENDIDIK SEKALIAN.....
Nukilan Rasa :
Sanisah Hanim Jiman
01 Rejab 1440 Hijrah/08 Mac 2019
0 Comments